Apakah Kaedah Tebuk dan Kumpul?
“Tebuk dan Kumpul” adalah satu cara untuk menggantikan keperluan aktiviti penorehan dalam pengumpulan hasil getah.
Apakah Keperluan Teknik Ini?
Industri getah di tanah air berada di dalam situasi krisis. Pengeluaran getah telah menyusut dengan mendadak, kawasan ladang dan kebun getah terbiar sangat tinggi, dan harga getah di pasaran terlalu rendah untuk menyara hidup tenaga kerja yang berkemahiran tinggi. Penggunaan pekerja yang tidak mahir menoreh telah mengakibatkan kecederaan kepada pokok-pokok getah yang menurunkan nilai hasil dan juga nilai kayunya.
Untuk maklumat lanjut tentang Krisis Industri Getah di Malaysia, sila merujuk di sini.
Bagaimanakah Kaedah “Tebuk dan Kumpul” Menyelesaikan Masalah-Masalah Ini?
Pertama, teknik ini mudah dilakukan, dan tidak memerlukan tenaga kerja khusus yang berkemahiran tinggi seperti proses penorehan. Teknik ini hanya memerlukan tenaga kerja yang terlatih. Ia juga menggunakan tenaga kerja yang ringan berbanding dengan aktiviti penorehan.
Dengan itu, masalah tidak mampu mencari tenaga kerja yang mencukupi boleh dielakkan.
Teknik ini juga membolehkan pengusaha kebun atau ladang getah mengusahakan kawasan ladang yang lebih besar berbanding dengan aktiviti penorehan tradisional. Penjimatan masa ini seterusnya boleh disalurkan kepada aktiviti agronomik seperti pembajaan ladang ataupun kepada aktiviti ekonomik yang lain.
Akhirnya, peralatan khas yang digunakan adalah murah dan juga berfungsi untuk mengurangkan kerugian akibat cuaca hujan.
Bagaimanakah Teknik Ini Dilaksanakan?
Secara amnya, jaluran-jaluran akan disediakan pada pokok getah dengan mengikis lapisan kulit kering pokok. Kemudian, Perisai Hujan akan dipasang untuk berfungsi sebagai pemandu susu getah dan juga perlindungan dari aliran air hujan. Perangsang khas CPOplus kami akan disapukan pada jalur yang akan diusahakan. Akhirnya alat penebuk khas akan digunakan untuk menebuk lubang-lubang dimana susu getah akan mengalir keluar, sekali setiap tiga hari.